Draf-draf tulisan bersepah-sepah di dalam folder Dia Berkata. Tulisan ini adalah salah satu daripadanya. Sudah berapa minggu entah dibiarkan:
Antara anganan terbesar dia ialah: untuk selalu pergi ke tempat-tempat penting lagi menarik di seluruh dunia, berseorangan. Rasa macam nikmat dunia paling best. Adapun tempat-tempat di dunia ini, banyak yang menarik dan berkepentingan, tapi masing-masing ada nilai yang berbeza:
Ada tempat-tempat penting yang suci lagi baik diziarahi, seperti Masjidilharam, Masjid Nabi dan Al-Aqsa.
Ada tempat yang bersejarah dan popular, macam Mesir, London, Itali, Paris dan Istanbul.
Ada juga yang bersejarah tapi kurang popular, namun kadar populariti tak pun menjejaskan kepentingannya. Macam Cordoba, Sevilla dan Granada (Ada unsur-unsur bias kecintaan terhadap Al-Andalus di sini).
Sebenarnya, bukanlah niat asal dia untuk membuat perbandingan antara Istanbul dan Granada atau tempat lain di dalam post ini.
Topik sebenar hari ini adalah "الحديث الموضوع", iaitu hadith yang dipalsukan (sama ada secara sengaja ataupun tidak).
Pagi tadi (Sciences of Hadith), Dr. Serdar bersyarah tentang Hadith Maudhū’. Beliau bercerita:
“Once, I was in Istanbul…and on one evening, I finished my work late…
[Beliau cerita dalam bahasa Inggeris tapi dia terjemahkanlah kepada bahasa Melayu tapi dia minta maaf kalau ada apa-apa makna daripada cerita Dr. Serdar yang nantinya “hilang dalam proses terjemahan”. P.S.: Fenomena ini lebih dikenali sebagai “lost in translation”.
OK sambung riwayat Dr. Serdar:]
“…Hari sudah malam. Jadi saya pun pergi ke kedai makan. Di negara saya (Turki), makan di luar adalah perkara yang sangat aneh. Berbeza dengan anda di Malaysia – makan di luar adalah perkara yang normal, bukan? Tapi dalam budaya kami, melainkan anda mempunyai alasan yang kukuh, you are expected to come home untuk makan bersama keluarga.
Untuk menghidupkan penceritaan, apa kata kita gambarkan suasana Istanbul di waktu malam:
Suatu malam di Istanbul. Drink the atmosphere in. Breathe Istanbul. [Gambar kutip dari Flickr orang]
“Tapi pada hari tersebut, memang saya terpaksa makan di luar. Jadi saya pun pergi ke sebuah kedai makan. Sambil makan, saya terlihat suatu gambar yang digantung di dinding kedai tersebut. [Beliau menggerak-gerakkan tangannya di sekitar papan putih dan skrin di hadapan kelas, jadi dia bayangkan, begitulah lebih kurang saiz gambar yang dimaksudkan. Besarlah agaknya.]
“Di dalam gambar itu, ada berbuku-buku roti. Digambarkan pula cebisan-cebisan roti jatuh daripada roti-roti yang tersusun tu. Di bawah gambar tersebut, ditulis teks Arab serta terjemahannya dalam bahasa Turki, yang bermaksud, “Barangsiapa yang memakan cebisan-cebisan daripada roti, maka diampunkan baginya dosa-dosanya.” [Maksudnya, jangan membazir]. Kata-kata tersebut telah dinukilkan di situ sebagai sabda Rasulullah S.A.W.
“Saya tahu, kata-kata itu pada hakikatnya bukanlah hadith Nabi S.A.W. Itu hadith maudhū’. Jadi selesai saja makan, saya panggil pelayan di situ.
“Saya tanya padanya, ‘Tuan (pemilik kedai makan ni) kamu ada?’
“Katanya, ‘Ada.’ Lalu saya minta dia panggilkan majikannya.
“Apabila bertemu dengan si pemilik kedai, saya beritahu dia, ‘Kata-kata yang tuan letakkan di gambar tersebut sebenarnya bukan hadith. Hadith itu maudhū’. Jadi pada hemat saya, janganlah tuan attribute kata-kata tersebut kepada Rasulullah S.A.W., kerana berdosa hukumnya meriwayatkan hadith yang palsu.’
“Pemilik kedai makan mula naik angin. Dia berbalah. Saya pun memberitahu dia, ‘Tujuan saya bukanlah untuk mendengar hujah tuan dan terus memberikan counter-arguments. Tapi baiklah sekiranya tuan merujuk balik kepada sheikh atau guru tuan yang daripadanya tuan telah mendapat hadith ini. Kemudian mintalah dia periksa kembali hadith ini, Beritahu dia, ada seorang ustadh yang pakar dalam bidang hadith telah datang kepada tuan dan menjelaskan bahawa hadith ini sebenarnya hadith palsu. Itu sahaja.’
“Pemilik kedai terdiam. Saya pun pulang ke rumah.
“Saya tahu hadith tersebut bertaraf maudhū’, tapi sekembalinya saya di rumah, saya merujuk kembali hadith tersebut untuk mendapat kepastian. Memang benar, itu hadith maudhū’.
“Kamu jelas atau tidak sekarang? Hadith maudhū’ boleh sahaja tersebar tanpa sengaja, tanpa pengetahuan. Pemilik kedai itu bermaksud baik. Biasanya pemilik kedai makan mahu pelanggannya makan sebanyak yang mungkin, tapi lain pula dengan pemilik kedai yang ini. Dia seorang yang soleh. Dia tidak mahu pelanggannya membazir. Sebab itulah dia meletakkan hadith tersebut di kedainya.
“Walau begitu, hadith itu tetap bertaraf maudhū’.”
Itu sahaja cerita untuk waktu ini. Pengajaran sila fikirkan sendiri.


0 comments :: Cerita tertangguh
Post a Comment