(I write this with all due respect to scholars and students of tafseer, and all those who understand better and more accurately.
Pengetahuan dia tentang tafsir ayat-ayat al-Qur'an sangat sangat sedikit.
Adapun post ini, tulisan dia sebagai pelajar Sejarah dan Tamadun.) Anda ingat ayat ini?
Maksudnya:
Dan apabila Tuhanmu bertitah kepada para malaikat,
"Sesungguhnya Aku akan mencipta khalifah untuk mentadbir bumi."
Para malaikat (hairan lalu) bertanya, "Apakah Kau akan mendatangkan pentadbir bumi daripada makhluk-makhluk yang membuat kerosakan di atasnya, dan menumpahkan darah, sedangkan kami berterusan bertasbih memujiMu dan menyebut-nyebut kesucianMu?"
Titah Allah kepada malaikat, "Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui segala apa yang kalian tidak tahu."
Biasanya, terjemahan ayat ini akan menarik perhatian kita kepada sifat manusia yang suka membuat havoc dan berbunuh-bunuhan. Sering juga timbul pembezaan sifat semulajadi antara malaikat dengan manusia. Yang satu taat, yang lagi satu sering lupa. Para malaikat bagaikan tidak percaya bahawa Allah berkehendak menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi. Manusia yang selalu timbulkan huru-hara itu? Jadikan mereka khalifah?
Profesor Dr. Ghassan Taha Yaseen, di dalam kelas Survey of Ancient Civilisations-nya minggu lepas, telah mengetengahkan pendapat beliau tentang permulaan kewujudan manusia di bumi. Di sini dia mahu mengutarakan teori tersebut.
Hari itu, perbincangan mereka mengenai zaman pre-history. Tentang "manusia" Neanderthal (Homo neanderthalensis), Homo heidelbergensis, dan semua makhluk seumpamanya. Ahli-ahli arkeologi memang ada menjumpai sisa-sisa tulang makhluk yang menyerupai manusia, tetapi tidak boleh juga digelar manusia (maksudnya bukan Homo sapiens, "manusia moden") kerana perbezaan anatomi yang terlalu ketara antara manusia dengan "mereka". Malah, sudah ada golongan pakar dari Jerman dan AS yang menguji DNA makhluk-makhluk ini. Ternyata tidak sama dengan DNA kita, manusia.
Charles Darwin merumuskan, ini semua bukti bahawa manusia dahulunya berasal daripada pelbagai variasi spesies beruk yang bertukar sedikit demi sedikit...sampailah semuanya menjadi manusia Homo sapiens yang sempurna. Teori ini melawan logik, bahkan bertentangan dengan bukti yang kita yakini daripada wahyu. Pegangan kita, manusia semuanya berasal daripada Nabi Adam AS.
Prof. Ghassan kata, Nabi Adam AS hidup sekitar tahun 40,000 hingga 30,000 BC. Pandangannya ini berasaskan penemuan tulang jenis Homo sapiens yang pertama. Ujian carbon dating menunjukkan bahawa manusia seperti kita wujud pada zaman Paleolitik (zaman batu) Akhir. Adapun tulang-tulang yang berusia lebih tua daripada itu, bukanlah daripada jenis manusia. Mesti anda fikir: Maknanya Prof. Ghassan setuju ada "manusia awal" yang wujud sebelum Homo sapiens?
Tepat sekali. Tapi! Makhluk-makhluk tersebut bukanlah manusia awal, bukanlah nenek moyang anda atau dia, bukanlah asal-usul keturunan kita, dan tiada apa-apa kaitan langsung dengan spesies Adam AS dan keturunannya. Homo erectus, H. neanderthalensis, H. heidelbergensis, semua itu makhluk Allah yang kelihatan seperti manusia, tapi bukan manusia. Haiwanlah maksudnya. Macam zirafah, kucing, gajah, musang. Cuma rupanya seakan-akan manusia.
Prof. Ghassan kata lagi, pada pendapatnya, inilah maksud di sebalik kehairanan para malaikat seperti yang dapat kita rasakan daripada ayat di atas. Makhluk-makhluk ini mempunyai tabiat haiwan perosak -- sering berbunuhan lagi destructive in nature. Rupa mereka pula seakan-akan manusia. Sebab itulah, apabila Allah mengkhabarkan penciptaan manusia dan pelantikan mereka sebagai khalifah bumi, semua malaikat hairan. Takkanlah makhluk yang itu yang mahu dijadikan pentadbir? Dalam kata lain, para malaikat sudah maklum akan kewujudan haiwan-haiwan seperti manusia itu, dan menyangka bahawa makhluk-makhluk itulah yang bakal dijadikan khulafa' Allah di bumi...sedangkan hakikatnya, Allah akan mencipta makhluk yang belum pernah wujud sebelum itu.
Harap faham, ini cuma pendapat daripada ahli sejarah berdasarkan bukti arkeologi yang ada di depan mata.
Dia tahu, lazimnya ayat 30 surah al-Baqarah ini akan difahami dalam konteks "malaikat tahu bahawa spesies anak Adam bersifat suka merosakkan", dan inilah kali pertama dia melihat ayat ini dari sudut "malaikat menyangka bahawa Allah akan melantik sejenis haiwan (yang sudahpun wujud sebelum kejadian Adam AS) yang hampir serupa dengan manusia untuk menjadi khalifah". Walau apapun, pada pendapat peribadi dia, kedua-dua konteks tersebut boleh memungkinkan reaksi ini:
"Apakah Kau akan mendatangkan pentadbir bumi daripada makhluk-makhluk yang membuat kerosakan di atasnya, dan menumpahkan darah, sedangkan kami berterusan bertasbih memujiMu dan menyebut-nyebut kesucianMu?"
"Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui segala apa yang kalian tidak tahu."





